
CYBERJAYA – Dominasi sistem transaksi pembayaran Touch ‘n Go di plaza tol lebuh raya di seluruh negara akan berakhir selepas pelaksanaan sistem aliran bebas berbilang laluan (MLFF) bermula 2025.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkhidmatan SmartTAG yang turut akan ditamatkan itu bagi membolehkan pengguna lebuh raya menjelaskan bayaran tol menggunakan mod bayaran digital pilihan mereka sendiri.
“Selepas ini, pelanggan boleh memilih sendiri mod bayaran digital yang mereka suka, samada masih menggunakan eWallet Touch ‘n Go, kad kredit atau debit, atau apa sahaja sistem bayaran elektronik yang sedia ada,” kata Fadillah.
Beliau berkata demikian dalam satu temubual ekslusif bersama portal FMT yang diterbitkan pada hari ini.
Sistem MLFF yang bakal diperkenalkan itu merupakan antara ciri utama kepada blueprint Sistem Pengangkutan Pintar bagi jalinan lebuh raya pada masa akan datang.
Ia merupakan sistem tol tanpa penghadang, dan tidak mempunyai plaza tol dan menggunakan struktur gantri yang dilengkapi dengan alat pengimbas nombor plat (ANPR) di lokasi tertentu.
Bagaimanapun, kata Fadillah lagi, tarikh penamatan sebenar penggunaan kad Touch ‘n Go adalah bergantung kepada kadar penembusan penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan kesediaan pemegang konsesi untuk menyaling hubungkan sistem pembayaran mereka dengan penyedia lain.
“Kami mendengar permintaan rakyat supaya membuka lebih banyak pembayaran dalam talian, dan pada masa yang sama mendengar rungutan mereka bahawa mereka perlu buat bayaran lebih awal kepada Touch ‘n Go tidak kira mereka gunakan lebuh raya atau tidak,” katanya lagi.