
CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti pandangan yang diberikan oleh warga pendidik berhubung pelaksanaan pengautomasian sepenuhnya sistem pengurusan pertukaran dan penempatan guru (e-GTukar) yang bermula 1 Januari lalu.
Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, langkah itu diambil selepas pihaknya mendengar pelbagai maklum balas daripada pihak guru.
“KPM komited untuk mengoptimumkan lagi aplikasi baharu ini berdasarkan penelitian terhadap pandangan yang diterima.
“Terima kasih guru-guru atas pandangan anda semua mengenai sistem baharu yang dilancarkan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Radzi berkata, sistem itu telah dilakukan penambahbaikan dengan memasukkan beberapa fungsi baharu.
Katanya, guru-guru sudah boleh mengakses aplikasi tersebut pada tarikh yang sama.
Bagaimanapun, katanya, susulan perubahan kepada aplikasi tersebut, KPM telah menerima pelbagai pandangan dan maklum balas daripada guru yang membuat permohonan melalui e-GTukar.