
CYBERJAYA – Bermula hari ini mangsa banjir boleh menggunakan Bantuan Pembelian Peralatan Elektrik Domestik sebanyak RM500 untuk membuat pembelian peralatan elektrik bagi menggantikan peralatan yang rosak.
Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli,
Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pemberian bantuan itu hanya untuk 15 peralatan elektrik domestik yang disenaraikan, tidak terikat kepada syarat label cekap tenaga dan perlu mematuhi piawaian keselamatan elektrik
“Pelaksanaannya akan menggunakan platform dan mekanisme Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) yang diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia).
“Bantuan khas ini dikhususkan kepada warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pengguna/pemilik akaun elektrik (domestik) dengan syarikat utiliti elektrik, rumah kediaman yang terkesan oleh banjir dan tersenarai sebagai mangsa bencana yang disahkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian Bantuan Pembelian Peralatan Elektrik Domestik sebanyak RM500 dalam bentuk e-rebat.
Menurut Perdana Menteri, ia adalah bagi meringankan beban kepada pengguna elektrik domestik yang terkesan untuk membuat pembelian peralatan elektrik bagi menggantikan peralatan yang rosak.
Dalam pada itu, Takiyuddin menasihatkan pengguna untuk membeli peralatan elektrik berlabel cekap tenaga.
Katanya, untuk maklumat lanjut, pemohon boleh merujuk ke laman sesawang di
pautan http:/www.seda.gov.my/bantuan.
Sementara itu, menerusi laman web itu terdapat dua kaedah tersedia untuk pengguna iaitu pembelian dan penebusan di kedai atau pasar raya berdaftar atau pembelian secara dalam talian.
Pemohon hanya perlu mempunyai atau membawa tiga dokumen berikut iaitu salinan kad pengenalan, akaun bil elektrik domestik TNB yang sah dan dokumen sokongan berkaitan mangsa banjir (salah satu salinan asal laporan daripada agensi sama ada polis; NADMA; Pegawai Daerah; surat sokongan dari Ketua komuniti JKKK, JMB/JMC, Persatuan Penduduk atau agensi kerajaan yang terlibat dengan penyelarasan bantuan mangsa banjir).