
CYBERJAYA – Ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan, berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90% sektor ekonomi, dan kebanyakan aktiviti sosial.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemulihan tersebut disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir keseluruhan populasi telah divaksinasi.

“Dengan momentum pemulihan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada landasan yang kukuh untuk terus berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada 2022.
“Ia selari dengan unjuran oleh IMF pada 6.0 peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus.
Pertumbuhan ini akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang bernilai RM332.1 bilion, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial,” kata Ismail Sabri dalam perutusannya sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.
Beliau turut menyatakan harapan bersempena Tahun Harimau ini, supaya segala usaha kerajaan dalam memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sehingga ke tahun-tahun seterusnya.
Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Ismail Sabri berharap peluang menyambut perayaan itu bersama ibu bapa dan keluarga tercinta pada tahun ini selepas dua tahun terpaksa menyambut dari kejauhan dan terpisah dengan keluarga, dapat mengerat serta mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan.
Namun dalam kemeriahan perayaan. Perdana Menteri turut mengingatkan supaya prosedur operasi standard (SOP) terus dipatuhi dalam membendung penularan wabak Covid-19.
“Terima kasih kepada seluruh masyarakat Cina yang telah berganding bahu dengan kaum-kaum lain seperti Melayu, India, Kadazan, Dusun, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau sebagai sebuah Keluarga Malaysia.
“Marilah kita sama-sama berdoa, semoga tahun ini membawa kemakmuran, kebahagiaan dan kesihatan yang baik untuk seluruh Keluarga Malaysia. ‘Gong Xi Fa Chai, Xin Nian Kuai Le,'” katanya lagi.