
KUALA LUMPUR – Naib juara edisi Liga Sepak Takraw (STL) musim lalu, ATM Guardians terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menewaskan pendatang baharu Putrajaya Cyborg dalam aksi pembukaan Premier di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur malam tadi.
ATM Guardians yang turun sebagai antara calon untuk mencabar kejuaraan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-19, 16-21, 21-14.
Pada set pembukaan pasukan ATM diberikan tentangan sengit sebelum menang tipis 21-19.
Bagaimanapun, memasuki set kedua, Putrajaya Cyborg yang juga naib juara Divisyen 1 2020 bangkit dengan menewaskan ATM 21-16.
Namun pengalaman memisahkan antara kedua-dua pasukan apabila ATM bangkit semula pada set penentuan dan menang dengan keputusan 21-14.
ATM Guardians bakal berdepan cabaran lebih getir esok apabila berdepan juara bertahan, Kuala Lumpur Thunder dalam pertemuan ‘buku bertemu ruas’ pukul 8 malam ini.
Sementara itu, dalam aksi pembukaan pertama malam semalam, Kuala Lumpur (KL) Thunder membuktikan kehebatan mereka dengan menjulang trofi pertama musim ini selepas menundukkan Bomba Fighters dalam aksi Piala Sumbangsih di gelanggang sama.
KL Thunder yang mengandingkan Azlan Alias, Amirul Zazwan dan Syahir Rosdi selaku tekong ternyata bukan tandingan selepas mudah menewaskan juara Divisyen 1 musim lalu itu 21-7, 21-14.-MT