GCW 1.0 semai kefahaman tiada kekuatan tanpa muafakat

0
343
Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahya merupakan salah seorang panelis GCW 1.0, hari ini.

CYBERJAYA – Forum Gerak Cinta Watan Siri 1 (GCW 1.0) hari ini sepakat mengumumkan bahawa tanahair Malaysia dibangunkan di atas tiga asas utama iaitu amalan Islam dari aliran Ahlu sunnah wal Jamaah, kedaulatan amanah Allah kepada Baginda Rasulullah sehingga diwarisi oleh Institusi Kesultanan, dan adat budaya yang bersendi Kitabullah (al-Quran).

Forum yang dianjurkan oleh Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja (MAMPIR) itu berlangsung di Dewan Besar Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch dihadiri oleh kira-kira 600 peserta yang terdiri daripada aktivis masyarakat dan juga orang perseorangan.

Antara panel yang hadir termasuk Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahya; Naib Pengerusi Pembela, Ustaz Masridzi Sat; panel agamawan MAPIR, Maulana Iqbal Zain dan tokoh agama, Walid Ibrahim al-Malik.

Turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan, Malakat Eco dan Brainy Bunch, Adzhar Mohd Noor.

Jurucakap MAMPIR, Ustaz Razali Daud dalam sidang akhbar selepas forum itu berkata, forum ini dianjurkan bagi menyemai kefahaman bahawa kekuatan tidak akan dicapai sekiranya tiada muafakat antara satu sama lain.

“Mulai hari ini, kita berusaha teguhkan rakyat supaya berada dalam permuafakatan gerak kerja, memurnikan media sosial, mengawal mereka yang rakus, kapitalis budaya songsang, membela rakyat bawahan perteguhkan sistem (institusi) negara seperti Institusi Raja, Kehakiman, Polis, Tentera SPRM dan lainnya,” kata Ustaz Razali.

“Kekuatan satu negara berada pada kekuatan bangsa, (manakala) bangsa yang hebat didukung peribadi hebat yang tidak bergantung pada sesiapa dan terlalu mengharap pada kerajaan.

“(oleh itu) Kunci kekuatan bangsa perlu diperkuatkan dengan ketauhidan dan spiritual, akhlak dan cinta, keilmuan dalam pelbagai bidang, kekayaan ekonomi, dan kekuasaan politik,” katanya lagi.

Justeru, kata Ustaz Razali, kekuatan gerak kerja secara muafakat rakyat membantu rakyat, dan dari komuniti kepada komuniti perlu diperluaskan dalam membina lima kekuatan itu tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

“Kecelaruan politik, kerakusan kuasa dan ketamakan menyebabkan berlaku banyak kepincangan dan permasalahan.

“Oleh itu, kesedaran rakyat secara menyeluruh, (yang disokong) muafakat yang kuat dan tindakan yang bijaksana dapat memurnikan kerosakan tersebut,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here