
CYBERJAYA – Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz menegaskan sistem kewangan negara kekal utuh di sebalik laporan pengisytiharan syarikat perjudian Genting Hong Kong sebagai muflis.
Beliau berkata, bank-bank yang terlibat dalam pemberian pinjaman tanpa cagaran itu adalah amat berdaya tahan dalam mengharungi pelbagai cabaran operasi perniagaan semasa.â €
“Pengisytiharan Genting Hong Kong sebagai muflis amat dikesali. Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan bahawa bank-bank yang terlibat, dan sektor perbankan Malaysia secara keseluruhannya, amatlah berdaya tahan dalam mengharungi pelbagai cabaran operasi perniagaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang pinjaman yang diberikan oleh bank tempatan kepada Genting Hong Kong.
Tengku Zafrul berkata, selain bank tempatan, bank luar negara turut memberi pinjaman kepada syarikat perjudian itu.
Sehubungan itu, katanya, semua bank-bank itu perlu mematuhi garis panduan dalaman serta garis panduan bank pusat masing-masing sebelum memberikan pinjaman.
Menyentuh mengenai isu pinjaman tanpa cagaran, katanya, bahawa hal itu bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sektor perbankan.
“Bank-bank boleh meluluskan pinjaman tanpa cagaran berdasarkan kesanggupan bank tersebut mengambil risiko pada peringkat dalaman, penilaian kredit yang memenuhi kriteria dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman.
“Tambahan pula, dalam kes Genting Hong Kong, pinjaman telah diluluskan sebelum pandemik Covid- 19 melanda. Genting Hong Kong ini adalah syarikat dalam sektor libur termasuklah pelancongan tapi bila Covid melanda, banyak syarikat yang bergantung kepada pelancongan terjejas. Ini sudah tentu sesuatu yang tidak dapat dijangka semasa pinjaman diluluskan,” ujarnya.â €
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sektor perbankan negara sebenarnya telah mengalami banyak penambahbaikan berbanding tahun 1998 iaitu semasa krisis kewangan Asia dan ketika Anwar masih memegang jawatan Menteri Kewangan.
Beliau berkata, nisbah pinjaman tak berbayar (NPL) pada Disember 1998 melonjak ke 18.6 peratus dan pada waktu itu juga, nisbah perlindungan kerugian pinjaman (LLC) hanya di tahap 55.9 peratus iaitu untuk setiap RM1 yang dipinjamkan, hanya hampir 60 sen diperuntukkan bagi menangani kemungkinan pinjaman tidak dibayar.â €
“Sejak krisis itu, sistem perbankan Malaysia telah diperkukuhkan dan kini lebih berdaya tahan. Hari ini, nisbah pinjaman tak berbayar hanya 1.4 peratus termasuklah peruntukan NPL separa bagi pinjaman oleh Genting Hong Kong.
“LLC pula kekal kuat pada tahap 131.5 peratus berbanding 55.9 peratus pada 1998.
“Jadi, sistem kewangan Malaysia kekal kukuh dan tidak timbul sebarang masalah kecairan di pasaran,” ujarnya.