
CYBERJAYA – Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz tidak menolak kemungkinan kerajaan memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi membendung masalah ketirisan cukai.
Kemungkinan tersebut disuarakan beliau dalam satu temubual khas bersama portal Sinar Harian yang disiarkan hari ini.
Menurutnya, jika dibandingkan hasil pungutan antara GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), hasil kutipan yang sepatutnya diperolehi secara teorinya adalah sama, tetapi hakikat yang terjadi adalah berbeza.
Ini adalah kerana, sistem GST adalah lebih efisien sekaligus penipuan cukai sukar dilakukan.
Beliau menjelaskan, sejak SST diperkenalkan, hasil kerajaan merosot sebanyak RM20 bilion walaupun harga barangan kesan pengenalan semula SST adalah sama dengan GST.
“Isunya banyak ketirisan berlaku apabila SST kembali diperkenalkan sehingga menyebabkan kerajaan susah untuk mengesan mereka yang cuba lari daripada cukai.
“Itu sebabnya kita kena pertimbangkan cukai kepenggunaan (GST) semula kerana negara lain sudah buat.
“Cuma isunya adalah dari aspek penerangan berasaskan sudut ekonomi dan politik. Kalau semua orang setuju untuk jelaskan kepada rakyat dan rakyat terima, ia akan jadi mudah. Namun kalau rakyat tidak terima, manakala ahli politik serta kerajaan takut melaksanakannya, perkara itu sukar direalisasikan,” katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul mengakui usul pelaksanaan GST, sekiranya diterima kerajaan dan rakyat, perlu dibentangkan semula oleh beliau di Parlimen susulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah membatalkan akta itu sebelum ini.
Beliau menegaskan, perkara pokok yang harus diputuskan kerajaan sebelum usul pelaksanaan GST dibentangkan adalah berapa peratus kadar GST yang sesuai dikenakan.
“Jika dahulu kadarnya enam peratus, adakah kita perlu turunkan kadar itu dan kalau mahu turun, berapa peratus yang perlu dipertimbangkan?
“Jika kerajaan turunkan kadar GST terlalu rendah, tidak ada makna kerana hasilnya akan kurang daripada sekarang.
“Bagi saya, perkara paling penting adalah penerimaan rakyat dan jika kita bersikap telus dan menunjukkan bahawa duit yang dikutip melalui GST ini akhirnya kembali kepada mereka, saya yakin pelaksanaannya akan lebih mudah,” katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul melihat keperluan mengembalikan GST berasaskan keperluan membantu rakyat dan membantu meningkatkan belanja pembangunan negara.
Jelasnya, langkah itu penting untuk jangka masa panjang terutamanya dalam membolehkan negara mencapai sasaran penurunan defisit belanjawan negara kepada tiga atau lima peratus menjelang tahun 2025.