
KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menasihatkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan di media sosial berhubung kesnya di mahkamah.
Hakim Mohamed Zaini berkata, bekas Menteri Belia dan Sukan itu perlu membezakan kedudukannya sebagai ahli politik dan sebagai tertuduh ketika mengeluarkan kenyataan.
“Saya memahami kesusahannya tetapi beliau tidak boleh mencampur adukkan semua, sebagai seorang ahli politik dan tertuduh.
“Saya pasti dari semasa ke semasa anda (peguam) akan dapat menasihatinya tentang apa yang boleh (berhubung hantaran di media sosialnya),” kata hakim pada prosiding sebutan kali pertama kes itu di Mahkamah Tinggi hari ini.
Hakim itu menasihati Syed Saddiq susulan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin mengingatkan tertuduh supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan berhubung empat pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan wang sumbangan yang dihadapinya dalam media sosial.
Wan Shaharuddin menasihatkan Syed Saddiq agar tidak mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan dirinya berhubung kes dihadapinya di dalam Facebook sebelum perbicaraan bermula.
“Ini bukan satu gag order (perintah larangan) cuma nasihat daripada orang yang lebih matang daripada tertuduh. Sebelum ini terdapat beberapa posting di Facebook beliau yang komen tentang perjalanan kes ini dan telah mengemukakan pembelaannya.
“Saya cuma mengingatkan tertuduh agar lebih berhati-hati kerana pembelaan yang beliau kemukakan dalam Facebooknya boleh digunakan terhadapnya,” kata Wan Shaharuddin memetik laporan Bernama hari ini.
Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq berkata anak guamnya perlu diberi ruang yang lebih fleksibel bagi menjelaskan kepada orang ramai yang ingin mengetahui mengenai kes yang dihadapinya di mahkamah, namun, peguam itu mengambil maklum mengenai teguran hakim berkenaan.
Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana ARMADA, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.