Hampir setengah juta kanak-kanak didaftar divaksin setakat hari ini

0
31
Vaksin untuk kanak-kanak yang tiba di Kompleks Raya Subang

SUBANG – Malaysia menerima sebanyak 624,000 penghantaran pertama dos vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada kanak-kanak melalui Program Vaksinasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Kompleks Raya, Subang di sini hari ini.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), vaksin jenis mRNA Comirnaty Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) itu akan diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun bermula bulan hadapan.

“Perjalanan vaksin dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh syarikat farmaseutikal tersebut dan DHL, peneraju dalam industri logistik.

“Vaksin ini telah dibawa dari Puurs, Belgium dan transit di lapangan terbang di Jerman iaitu Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pada masa sama sebanyak 72 kotak sotbox vaksin itu akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di 12 buah negeri seperti Pahang, Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

Katanya, bagi kawasan utara seperti Kedah, Perlis dan Perak akan terus dihantar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam ULTF dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Transmile Cargo Kompleks Raya Subang.

“Selesai proses pemindahan, trak syarikat logistik itu diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ke lokasi penyimpanan vaksin yang ditetapkan sebagai langkah keselamatan.

“Vaksin Covid-19 yang telah tiba di Malaysia akan dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara. Ini termasuk penghantaran menerusi udara dari Subang ke Sabah dan Sarawak mengikut jadual penerbangan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, menurut KKM, dianggarkan seramai 4 juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin ini.

Katanya, sebagai permulaan, pemberian vaksin itu akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan manakala pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan akan diberi di PPV Integrasi.

“Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berumur dari lima hingga bawah 12 tahun boleh membuat tempahan melalui Sistem Tempahan Janji Temu di Aplikasi MySejahtera.

“Sehingga hari ini, 484,639 kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun telah mendaftar di MySejahtera. Melalui kaedah ini, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta masa vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka.

“KKM mempelawa ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun yang tinggal di Lembah Klang untuk membuat tempahan janji temu untuk anak-anak mereka. Pelaksanaan sistem janji temu akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here