
CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Kangar daripada Pakatan Harapan (PH), Noor Amin Ahmad dan seorang pembantu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad jika tidak memohon maaf dan memadam satu hantaran yang didakwa berunsur fitnah dalam laman sosial mereka.
Menurut Najib, keputusan itu terpaksa diambil selepas kedua-dua individu itu masih enggan memadamkan satu hantaran yang bukan ditulis olehnya.
“Setelah membaca komen-komen dalam posting saya dan posting Ahli Parlimen PH Kangar berhubung fitnah “Selamat jalan?”, saya telah arahkan peguam saya untuk mulakan proses saman fitnah terhadap Ahli Parlimen PH tersebut dan seorang pembantu Atuk sekiranya mereka tak padam posting dan mohon maaf secara terbuka hari ini,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, katanya pembantu kepada Dr Mahathir iaitu, Adam Mukhriz akan disaman juga kerana Ahli Parlimen PH itu memberikan alasan memetik hantaran daripada Adam.
“Sukar untuk percaya bahawa pada masa Atuk sakit, dorang masih mampu mainkan fitnah sebegini hanya sebab nak politik? Mereka tuduh saya, saya nafi.

“Lalu dorang suruh saya tunjuk activity log FB saya untuk buktikan saya tak post “Selamat jalan?”, saya tunjukkan tapi dorang masih tak mahu minta maaf.
“Ada yang kata activity log boleh edit. Tak mahu percaya. Pelik, activity log boleh edit tapi screenshot tak boleh edit ke?
“Sebab itu, saya saman kedua-dua supaya peguam saya boleh tunjukkan activity log original kepada mereka dalam mahkamah bagi memuaskan hati mereka,” katanya.
Sementara itu, Najib berkata, sebarang pampasan yang diterima akan diberikan sebagai bantuan kepada rakyat