Harga ayam, telur mungkin naik selepas 4 Feb

0
16

CYBERJAYA – Rakyat perlu bersedia kemungkinan berlaku kenaikan harga ayam dan telur tidak lama lagi setelah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) tamat tempohnya pada 4 Februari depan.

Laporan portal Malaysia Gazette menyebut, kemungkinan itu disuarakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi, hari ini.

Kata Alexander, kerajaan akan mengkaji semula harga siling ayam bagi mengimbangi kebajikan pengguna dan penternak.

“Dalam sesi libat urus yang diadakan bersama pelbagai agensi, termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan persatuan penternak, kita mendengar keluhan penternak mengenai harga ternakan dan kos operasi yang dikatakan meningkat disebabkan kos import dedak ayam.

“Pengguna juga harus faham masalah ini sebab ia agak rumit. Bukan mudah nak letak harga rendah, tapi penternak tak dapat keluarkan bekalan. Jadi, kita akan bermasalah tiada bekalan nanti,” kata Alexander selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, Melaka.

Bagaimanapun, kata Alexander, kementerian sentiasa mencari mekanisme terbaik untuk menjaga kepentingan pengguna dan penternak dan kenaikan jika berlaku hanya selepas SHMKM ditamatkan.

Ditanya, adakah itu bermakna pengguna perlu bersedia berdepan kemungkinan berlaku kenaikan ayam dan telur, beliau tidak menafikannya.

“Ya (kenaikan harga) betul, saya harap semua rakyat dan pengguna faham sebab masalah ini kompleks bukan semudah kita nak harga yang terlalu murah tapi penternak tiada pengeluaran jadi akhirnya kita tiada bekalan.

“Tapi kemungkinan kenaikan ini juga bergantung kerana kita juga ada stategi lain termasuk mengimport ayam dari luar yang mana jika dilaksanakan, akan berlaku persaingan harga menyebabkan harga ayam stabil dan tidak berlaku kenaikan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here