Harga makanan berasaskan tepung termasuk bihun dijangka naik

0
24
Harga bihun dijangka naik antara 20 sen hingga 40 sen.

CYBERJAYA – Harga makanan berasaskan tiga jenis tepung – tepung jagung, tepung ubi kayu dan tepung sagu – dijangka naik pada tahun ini.

Laporan China Press menyebut, sebagai contoh, bahan makanan seperti bihun akan mengalami kenaikan harga antara 20 hingga 40 sen.

Presiden Persatuan Pengilang Bihun, Hong Zhu Dian berkata, bahan mentah utama bihun adalah tepung jagung, tepung ubi kayu dan tepung sagu dan ketiga-tiga tepung itu telahpun mengalami kenaikan harga.

Buat masa ini, harga untuk bihun pek ekonomi adalah RM4.20 sekilogram dan RM5.20 untuk bihun berketul 400 gram.

“Pengilang-pengilang bagaimanapun bersedia untuk menaikkan harga sebanyak 20 sen hingga 40 sen,” katanya kepada China Press.

Kata Zhu Dian, faktor utama kenaikan harga tersebut adalah kerana kekurangan tepung sagu di pasaran.

“Selain itu, kos bahan api yang meningkat juga mengeruhkan keadaan.

“Pengilang juga berdepan kekurangan pekerja dan kami terpaksa menyediakan insentif khas untuk mengelak pekerja berhenti kerja. Pelbagai keadaan ini telah menyebabkan kenaikan harga bihun,” katanya lagi

Selain bihun, laporan China Press itu turut menyebut kenaikan harga tepung dijangka menyebabkan perubahan harga untuk roti, biskut dan bahan makanan berasaskan tepung yang lain.

Akhbar itu sebelum ini melaporkan, harga tepung 25 kilogram akan mengalami kenaikan sebanyak RM5 atau hampir 10 peratus bermula 1 Januari 2022.

Bagaimanapun, harga tepung subsidi oleh kerajaan yang seberat satu kilogram bagaimanapun tidak mengalami kenaikan harga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here