
CYBERJAYA – Orang ramai diminta tidak menyebarkan sebarang berita tidak benar mengenai keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sumber rasmi maklumat dan berita mengenai keadaan Dr. Mahathir ketika ini adalah berdasarkan sumber keluarga atau hospital secara rasmi.
“Hormati situasi keluarga Tun Dr Mahathir saat ini,” katanya dalam satu ciapan di kaun Twitter miliknya, hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai mendoakan supaya Allah SWT mempermudahkan segala urusan rawatan Dr. Mahathir di Institut Jantung Negara (IJN) ketika ini supaya negarawan itu segera sembuh.
Semalam, anak Ahli Parlimen Langkawi itu, Datin Paduka Marina memaklumkan, keadaan bapanya kini stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan pada 8 Jan lepas.
Dr. Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Jan selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Jan dan beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut berkenaan dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Jan.