
KUALA LUMPUR – Kabinet hari ini memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb ini.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat memanjangkan tempoh penggantungan perjalanan ibadah itu yang berkuat kuasa 8 Jan lepas susulan penularan jangkitan varian Omicron Covid-19.
“Baru tadi kami (Kabinet) sudah membuat keputusan… kita tidak mahu memanjangkannya lagi (tempoh penggantungan) jadi apabila 8 Feb ini nanti, bolehlah ejen-ejen pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah masing-masing,” katanya kepada Bernama.
Kata Nancy, prosedur operasi standard (SOP) untuk kebenaran perjalanan itu masih sama seperti sebelum ini antaranya mewajibkan jemaah mengambil dos penggalak.
“SOP dari dulu sama. Tinggal (cuma) hanya ada beberapa SOP baharu untuk mereka (jemaah) dan itu akan dibincang bersama pihak ejen pelancongan umrah. Jadi SOP yang terperinci akan dibincang selanjutnya,” katanya.
Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan susulan peningkatan jangkitan Covid-19 varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.