
KUALA SELANGOR – Seorang wanita berusia 56 tahun maut dalam keadaan penuh tragis dipercayai dipenggal oleh anak sendiri dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang di sini, semalam.
Kejadian yang berlaku di kediaman mangsa itu disedari oleh seorang lagi anaknya yang pergi ke rumah berkenaan selepas gagal menghubungi mangsa.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, mangsa ditemui di ruang tamu rumah dengan berlumuran darah dipercayai dipenggal dengan parang.
Beliau berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 5.45 petang semalam.
“Berdasarkan maklumat pengadu (anak mangsa), suspek berusia 28 tahun yang juga anak mangsa melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramli berkata, suspek yang melarikan ke kawasan semak berhampiran rumah itu kemudian berjaya ditangkap dengan bantuan penduduk kampung.
“Kita menemukan sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk memenggal kepada mangsa di dalam tandas rumah.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Suspek dikatakan tinggal bersama ibu dan bapanya di rumah berkenaan manakala adik beradik lain menyewa tidak jauh dari situ.
“Permohonan reman sudah dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan dibenarkan reman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini,” katanya.
Tambah Ramli, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.