
KEPONG – Selain keselesaan ruang yang luas dan bersih, Pusat Jualan Ikan dan Produk Hasil Laut NEKMAT di Taman Wahyu di sini turut menawarkan potongan harga produk dan hasil laut pada harga lebih rendah dari pasaran.
Salah satu daripada promosi terbaik yang ditawarkan kepada pelanggan di pusat jualan yang baharu dinaikkan taraf itu adalah ikan siakap segar yang dijual pada harga RM7 seekor dan kerapu hibrid RM20 per kilogram.
Setiap hari, pusat jualan yang terletak di Jalan Sibu 17, berhampiran dengan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu itu mula dipenuhi orang ramai seawal 7.30 pagi.
Pembantu Pengurus Pemasaran Pasar Nelayan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Atiq Isyraf Azman berkata, selepas kira-kira seminggu beroperasi di premis yang terletak berhampiran dengan tempat lama, pihaknya menerima maklum balas yang cukup positif daripada pelanggan.
Katanya, tapak niaga seluas kira-kira 3,500 kaki persegi itu memberi lebih kenyakinan kepada orang ramai untuk datang berbelanja kerana melaksanakan pematuhan jarak fizikal yang baik.
“Projek naik taraf ini dilaksanakan selepas mengambil kira keperluan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
“Premis ini dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu pasar basah untuk jualan ikan, sebuah pasar mini (mart) untuk jualan produk kering dan juga stor penyimpanan produk laut,” katanya kepada Malakat Tribune baru-baru ini.

Atiq berkata, pusat jualan itu juga dibina dengan rekaan kanopi secara terbuka untuk memberikan pengudaraan yang baik serta kemudahan tempat letak kenderaan secara percuma.
“Di sini pelanggan tidak perlu bersesak seperti di kebanyakan pasar raya, kerana kita ada ruang yang luas untuk penjarakan dan tidak tertutup dalam bangunan.
“Pengubahsuaian yang dilakukan ini diharap memberi keyakinan kepada pelanggan untuk berbelanja di sini,” katanya.
Ditanya mengenai promosi harian bagi produk hasil laut, Atiq berkata, potongan harga yang ditawarkan berbeza mengikut harga bekalan namun pihaknya akan sentiasa memberikan harga terbaik kepada pelanggan.
“Ada hari kita beri promosi sehingga 20 peratus dan hari ini misalnya promosi sebanyak 10 peratus.
“Begitu juga dengan tawaran ikan siakap RM7 seekor, yang bergantung kepada bekalan daripada kolam kami Badong, Pahang. Tapi insyallah bekalan jarang putus,” katanya.
Sebagai jaminan kesegaran, bekalan ikan yang diperoleh dari Selangor, Perlis dan Melaka ditambah tiga kali seminggu.
Tambah beliau, NEKMAT juga mempunyai sebuah bot pukat jerut dan dua buah bot api sendiri di Kompleks Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis, Perlis.
Sementara itu, Pasar Mini NekMart yang terletak di tapak yang sama akan dikembangkan sebagai pusat pengumpulan dan jualan produk-produk keluaran Bumiputera khususnya dari usahawan kecil dan sederhana dari seluruh negara.
“Buat masa ini di Pasar Mini NekMart, kami persatuan mempunyai dua produk keluaran sendiri iaitu QFish dan produk hasil perikanan jenama ENNA yang dikilangkan di Puchong seperti nugget ikan, jejari ikan, nugget ayam, burger ikan dan keropok lekor.
“Selebihnya adalah produk-produk keperluan harian seperti yang dijual di pasar raya,” katanya.
Menurut Atiq, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, pihaknya telah memperluaskan aspek pemasaran dan jualan melalui tiga platform perkhidmatan penghantaran iaitu Shopee, laman web dan Facebook.
“Pengguna boleh terus membuat belian di laman web http://www.nekmatbiz.com.my; shopee.com.my/nekmat.os atau menghubungi kami di Facebook,” katanya.

Harga semasa ikan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Pelanggan, Mohd Rahimi Razali, 33, berkata, dia merupakan salah seorang pelanggan yang datang setiap minggu ke situ untuk membeli keperluan harian.
Penduduk PPR Taman Wahyu itu berkata, dia memilih pasar nelayan NEKMAT disebabkan faktor ‘rasa selamat’ ketika membeli ikan berbanding di pasar raya lain yang selalunya sesak.
“Memang tidak dinafikan, semuanya lebih selesa di sini. Lagi pun harga dan kesegaran ikannya juga cukup baik sekali. Lagipun saya rasa kita sebagai rakyat Malaysia perlu memberi sokongan kepada persatuan nelayan seperti NEKMAT untuk membolehkan ia terus berkembang,” katanya.
Pelanggan, Noraisyah Abd Samad, 35, yang baru pertama kali ke pasar itu berkata, dia berpuas hati dengan kebersihan keseluruhan premis tersebut termasuk layanan bagus oleh kakitangan.
Selain keselesaan katanya, pelanggan juga disediakan dengan khidmat potong dan siang ikan yang ditawarkan secara percuma untuk semua jenis ikan tanpa mengira saiz.
