Imam tular mandikan remaja seperti jenazah letak jawatan

0
109
Mohd Zawawi Ahmad Mughni

CYBERJAYA – Imam Masjid Al-Islahiah, Kuang yang terlibat dalam insiden memandikan seorang remaja lelaki seperti jenazah telah meletak jawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, berikutan itu pihak JAIS sedang meneliti perkara ini untuk tindakan lanjut.

“Tindakan sewajarnya telah diambil oleh JAIS selaku agensi kerajaan yang bertanggung jawab menguruskan institusi masjid di Selangor sebaik sahaja mendapat maklumat yang betul tentang perkara itu.

“Saya difahamkan imam yang terlibat telah mengambil tindakan meletakkan jawatan dan JAIS sedang meneliti perkara ini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pihak supaya bertenang dan tidak mengambil pendekatan agresif dalam menangani apa-apa isu dan kes yang melibatkan institusi Islam.

Beliau meminta semua pihak menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas mereka mengikut lunas-lunas undang-undang.

Sehubungan itu, beliau berharap penyebaran video tersebut di media sosial dihentikan.

“Ini kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada kedua-dua pihak, malah mengundang kutukan daripada masyarakat dengan pelbagai komen negatif melalui media media sosial.

“Selain menjatuhkan maruah remaja terlibat, ia juga turut memberikan persepsi buruk tentang sikap pengurusan institusi masjid.

“Dalam menjalankan aktiviti dakwah Islam dan pengurusan institusi Islam di negeri Selangor khasnya dan Malaysia amnya, terapkanlah jiwa dai’e dan penyayang kepada mad’u atau sasaran dakwah.

“Dengan jiwa dai’e inilah masyarakat semakin mendekati Islam dan institusi masjid yang tertarik dengan kelembutan dan kasih sayang yang ditonjolkan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here