
CYBERJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah pusat pelacuran yang lebih dikenali sebagai ‘Rumah Merah’ di kawasan Jalan Silang, Kuala Lumpur dan berjaya menahan seramai tujuh orang warga asing.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya dengan kekuatan 10 pegawai dari Unit QRT Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen menyerbu premis itu pada pukul 3.30 petang, semalam.
Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati premis pelacuran berkenaan menjalankan operasi bermula pukul 9 pagi sehingga 9 malam dengan bayaran diantara RM30 hingga RM60 sekali langganan
“Dalam serbuan itu, pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memeriksa 11 individu terdiri daripada warga asing dan warga tempatan dengan tujuh daripada mereka ditahan.

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat cubaan melarikan diri oleh wanita dan pelanggan di dalam premis itu, namun tidak berjaya kerana kawasan terbabit sudah dikepong.
“Penjaga premis turut bertindak mengunci pintu dari dalam bagi menyekat serbuan masuk dan tidak memberi kerjasama untuk membuka pintu.
“Pegawai operasi terpaksa memecahkan dinding premis untuk masuk apabila cubaan untuk membuka dan mengumpil pintu besi yang dikunci dari dalam tidak berjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, pemeriksaan mendapati premis itu diubah suai secara haram dengan binaan bilik untuk melayan pelanggan dan juga laluan rahsia.
“Keadaan di dalam premis juga agak suram dengan penggunaan pencahayaan berwarna merah dan persekitaran dalam premis yang berbau serta kotor.
“Seramai 11 individu diperiksa di dalam premis berkenaan. Tujuh wanita didapati menyorok di dalam bilik rahsia, tiga pelanggan pula bersembunyi di laluan rahsia dan penjaga premis menyorok di dalam tangki air,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dilakukan pihaknya berjaya menahan tujuh warga asing terdiri daripada tiga wanita warga Indonesia, dua wanita warga India, seorang lelaki warga Nepal yang juga penjaga premis dan seorang pelanggan lelaki warga Myanmar di premis terbabit.
Menurutnya, empat notis untuk hadir memberi keterangan dikenakan kepada dua wanita tempatan pekerja di premis terbabit dan dua lelaki tempatan yang juga pelanggan di dalam premis semasa serbuan dijalankan.

“Akuan lisan dari salah seorang pekerja wanita menyatakan mereka menerima 10 sehingga 12 pelanggan sehari dan lebih ramai pelanggan pada hujung minggu.
“Setiap pekerja wanita juga dikenakan bayaran yuran sebanyak RM25 sehari untuk bilik, kondom, tisu dan pelincir. Bayaran ini perlu dijelaskan kepada penjaga premis selepas tamat waktu bekerja,” katanya.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.
“Semua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.