Impian remaja derita kanser tulang jumpa PM tercapai

0
28
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berswafoto bersama Nurshazrina Suryanto ketika melawatnya di kediamannya hari ini

SEPANG – Impian seorang pesakit kanser untuk bertemu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tercapai apabila Perdana Menteri melakukan lawatan mengejut ke rumahnya di Kota Warisan di sini hari ini.

Nurshazrina Suryanto, 15, yang menghidap kanser ewing sarcoma atau kanser tulang tahap empat dipertemukan selepas bapanya menyampaikan hasrat itu kepada salah seorang pegawai kanannya.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat merealisasikan impian adik Shazrina dengan membuat lawatan mengejut ke rumahnya. Terkejut dan teruja adik melihat kehadiran saya.

“Sebelum pulang, adik bersungguh hendak bangkit dan berjalan bersama saya. Saya sememangnya bimbang akan keadaannya namun dia tetap mahu menghantar saya ke kereta. Begitu kuat semangat adik,” katanya dalam satu rakaman video yang dihantar melalui laman Facebooknya.

Titipan kata-kata semangat oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada adik Nurshazrina

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mendoakan supaya pesakit kanser itu diberikan kesembuhan dan dapat mencapai segala cita-citanya.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, Nurshazrina, tidak menyangka hasratnya untuk bertemu pemimpin nombor satu negara itu yang diluahkan kepada beberapa pihak sebelum ini akhirnya didengari dan pertemuan itu diaturkan oleh Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said.

“Bersyukur sangat, tidak sangka dapat jumpa PM (perdana menteri), saya ucapkan terima kasih kerana sudi melawat saya sekeluarga walaupun jadual beliau sibuk.

“Beliau amat prihatin, ada tanya pasal kesihatan saya dan kata akan menyumbangkan komputer atau tablet untuk kemudahkan saya belajar,” kata pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sepang itu kepada Bernama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here