Indonesia umum nama baharu ibu negara sebagai Nusantara

0
190
Kota di Kalimantan Timur yang akan dijadikan ibu negara baharu Indonesia.

JAKARTA – Indonesia hari ini mengumumkan nama baharu bagi ibu negaranya yang akan berpindah di Kalimantan Timur sebagai Nusantara.

Menteri Perancangan Pembangunan Nasional, Suharso Monoarfa berkata, nama Nusantara yang bermaksud kepulauan dalam bahasa Indonesia telah dipersetujui oleh Presiden negara itu, Joko Widodo juga dikenali sebagai Jokowi.

“Saya baru mendapat pengesahan dan arahan terus daripada presiden iaitu pada hari Jumaat. Beliau berkata ibu negara baharu itu adalah Nusantara.

“Ini kerana Nusantara sudah lama dikenali. Dan ia adalah ikonik di peringkat antarabangsa, ringkas dan menggambarkan kepulauan kita, Republik Indonesia.

“Saya percaya kita semua bersetuju dengan nama Nusantara,” katanya ketika mesyuarat jawatankuasa khas untuk penubuhan ibu negara baharu itu.

Setakat ini, kerajaan masih belum memutuskan sama ada ibu negara baharu itu akan menjadi wilayah atau bandar.

Pada 2019, Joko Widodo mengumumkan bahawa ibu negara Indonesia akan berpindah dari Jakarta ke Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara di wilayah Kalimantan Timur.

Pembinaan projek ibu negara baharu itu dianggarkan bernilai AS$32 bilion dan sepatutnya dimulakan pada tahun 2020 namun tertangguh akibat Covid-19 – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here