
CYBERJAYA – Malakat Mall hari ini menjadi tuan rumah kepada majlis ‘breakfast talk’ yang mengumpulkan tokoh dalam bidang teknologi dan usahawan untuk bertukar-tukar pendapat mengenai pengalaman mereka masing-masing.
Dianjurkan oleh iiiVenture, majlis bermula pada pukul 9 pagi itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan SKALI, Tengku Farith Ritahuddeen selaku ahli panel.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat Eco, Hilmi Ismail yang turut berkongsi mengenai asas penubuhan dan hala tuju syarikat.
“Program pagi ini amat menarik kerana kita dapat mengumpulkan ramai pengasas dan pengarah syarikat duduk bersama.

“Secara tidak langsung, sesi networking yang berlangsung ini mampu menjadi pencetus kepada idea-idea baharu dan mungkin juga jalinan perniagaan pada masa akan datang,” kata Hilmi ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Sementara itu, menurut Prinsipal Kanan iiiVenture, Nor Azman Yusof, majlis itu diadakan bertujuan mengumpul komuniti perniagaan untuk duduk bersama dalam satu ruang bicara yang santai sambil bertukar-tukar pandangan.

“Tujuan kami adalah untuk menghubungkan kembali jalinan komuniti perniagaan yang terjejas ketika waktu pandemik.
“Ini adalah cara kami untuk membantu mereka merapatkan hubungan membina kembali perniagaan, terutamanya dalam keadaan masa ini,” kata Nor Azman.
Beliau kemudiannya menambah, sesi seterusnya akan dianjurkan pada 9 Februari nanti bertempat di lokasi sama di Malakat Mall.