Jambatan gantung usang di Sandakan akan dibaiki segera – KPLB

0
31
Kerja-kerja meletakkan papan lantai dilakukan selepas gambar kedaifan jambatan gantung itu tular di media sosial semalam. Foto : Bernama.

CYBERJAYA – Rakaman gambar sebuah jambatan gantung uzur di Kampung Nelayan Tengah, Sandakan, Sabah yang tular melalui laman media sosial Bernama semalam akan dibaiki selewat-lewatnya minggu depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pendedahan mengenai kedaifan jambatan gantung yang digunakan penduduk termasuk pelajar sekolah itu kini dalam perhatian dan siasatan kementeriannya.

Beliau berkata, kerja-kerja membaiki jambatan itu akan dilakukan segera selewat-lewatnya bermula minggu ketiga bulan ini.

“Pejabat KPLB Sabah juga telah turun ke lapangan untuk membuat siasatan dan akan mengemukakan laporan terperinci termasuk kos untuk pelaksanaan.

“Kementerian komited memastikan projek ini dilaksanakan dengan segera demi manfaat masyarakat setempat.

“Langkah awal pelaksanaan dijangka bermula minggu ketiga Januari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gambar yang memaparkan beberapa pelajar dan murid sedang melalui jambatan gantung usang di Kampung Nelayan Tengah, Sandakan poada hari pertama sesi persekolahan penggal tiga 2021 / 2022, semalam.

Gambar yang dirakam jurugambar Bernama itu menunjukkan keadaan jambatan gantung terbabit dalam keadaan daif dengan bahagian lantainya sudah tertanggal manakala bahagian jaring turut berlubang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here