Jatuhkan hukuman yang paling berat ke atas mereka – MMA

0
51
DR. KOH KAR CHAI

CYBERJAYA – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyeru pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pengamal perubatan yang mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 palsu.

Presiden MMA, Dr. Koh Kar Chai berkata, sekiranya didapati bersalah mereka juga perlu dijatuhkan hukuman yang paling berat kerana tindakan mereka turut membahayakan nyawa orang lain.

“Agak mengejutkan apabila lebih daripada 5,000 sijil vaksinasi dikeluarkan di Gombak bagi individu yang tidak menerima suntikan.

“Pihak kami tidak akan membenarkan individu sedemikian memburukkan profesion ini.

“MMA akan menyokong hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka yang didapati bersalah melakukan perkara yang toidak bertanggung jawab itu,” kata Dr. Koh dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyeru pihak Majlis Perubatan Malaysia (MMC) supaya membatalkan lesen pengamal perubatan individu yang didapati bersalah, dan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menutup klinik mereka.

“Saya turut menyeru orang ramai supaya membuat laporan kepada kami menerusi emel [email protected] sekiranya mempunyai sebarang maklumat,” kata Dr. Koh lagi.

Baru-baru ini, pihak polis berjaya menumpaskan kegiayan sebuah klinik di Gombak yang mengeluarkan sijil vaksinasi palsu bagi mereka yang enggan mendapatkan suntikan vaksin.

Berdasarkan data daripada komputer riba yang dirampas, sebanyak 5,601 individu berdaftar sebagai penerima vaksin di klinik tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here