
CYBERJAYA – Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan bermesyuarat pada Rabu depan bagi membincangkan isu berkaitan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, yang juga antara anggota jawatankuasa itu berkata, beliau menerima notis pengesahan daripada Setiausaha Dewan Rakyat bahawa mesyuarat itu akan diadakan pada pukul 2 petang, Rabu depan di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
“Pagi ini menerima pengesahan bahawa satu mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri akan dipanggil pada 19 Januari 2022 (Rabu), 2.00 petang di Parlimen.
“Isu yang akan kami bincang: isu pemilikan saham syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya dalam satu paparan di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Jawatankuasa itu diketuai Ahli Parlimen PAS, Abdul Latiff Abdul Rahman, dan turut dianggotai Ahli Parlimen UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Mohd. Nizar Zakaria; Anyi Ngau dari Parti Gabungan Parti Sarawak (GPS); Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS); manakala Pakatan Harapan diwakili William Leong dan Khoo Poay Tiong; dan Datuk Azis Jamman dari Parti Warisan.
Pada 9 Jan lepas, Foong Hin, Poay Tiong, Azis dan William telah mengeluarkan satu bersama yang mempersoal kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dilihat membela Azam.
Mereka mendakwa, Wan Junaidi bagaikan memperkecilkan skandal yang dikaitkan dengan Azam apabila menyatakan nilai saham pada masa pembeliannya mampu dibeli individu nombor satu SPRM itu.
Menurut laporan tahunan 2015 Excel Force Bhd, Azam memiliki 2,156,000 saham dalam syarikat itu pada 21 Mac 2016. Pada masa itu, Azam adalah ketua bahagian siasatan SPRM.
Dalam sidang akhbar pada 5 Jan lalu, Azam berkata, dia telah memberitahu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun banknya telah digunakan oleh adiknya, Nasir untuk memperoleh saham dalam kedua-dua syarikat itu pada 2015.
Pengerusi LPPR, Abu Zahar Ujang juga menjelaskan Azam tidak melakukan sebarang kesalahan berkait pembelian saham berkenaan.