Johor: 31 buah sekolah terkesan akibat banjir tidak dibuka esok

0
10
GAMBAR HIASAN

JOHOR BAHRU – Sebanyak 31 buah sekolah tidak akan dapat dibuka bagi sesi persekolahan penggal ketiga yang bermula esok kerana masih terkesan akibat banjir.

Menurut portal Utusan Online, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang memberitahu, daripada jumlah itu, 23 buah sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sementara selebihnya masih dinaiki air.

Katanya, PPS yang dibuka itu melibatkan masing-masing lapan buah sekolah di Segamat dan Tangkak, lima di Muar dan dua di Batu Pahat.

“Sebelum ini, sebanyak 46 sekolah di negeri ini dijadikan PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang terlibat tetapi dalam keadaan banjir semakin pulih, separuh daripadanya sudah ditutup.

“Bagi sekolah yang masih dijadikan PPS, ia tidak akan beroperasi esok dan akan kekal menjadi PPS sehingga isu banjir ini selesai,” kata Mazlan selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Festival Permainan Tradisional, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Sebanyak 1,184 buah sekolah di Johor dijadualkan memulakan Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 esok mengikut jadual yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, sekolah yang dinaiki air adalah empat buah sekolah di Tangkak, tiga di Segamat dan sebuah sekolah di Muar juga tidak akan memulakan sesi persekolahan esok.

Sesi persekolahan bagi lapan buah sekolah itu hanya akan bermula sebaik keadaan banjir pulih.

“Setelah keadaan banjir pulih dan kerja-kerja pembersihan sudah selesai, barulah sekolah ini akan menyambung sesi persekolahan penggal ketiga.

“Bagi sekolah lain yang tidak terlibat banjir, sesi persekolahan akan berjalan seperti seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here