Johor, Pahang dijangka terima hujan lebat berterusan

0
2
Gambar hiasan. – Pihak Berkuasa turut mengeluarkan amaran kepada aktiviti laut ekoran cuaca buruk.

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga iaitu hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Pahang dan Johor sehingga esok, 4 Januari.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada Isnin memaklumkan daerah yang terlibat ialah Rompin di Pahang dan Mersing di Johor.

Sementara itu, kenyataan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap kuning yang diramal berlaku di Kemaman; Terengganu, Maran, Kuantan, Bera, Pekan; Pahang, Kuala Pilah, Rembau, Jempol, Tampin; Negeri Sembilan dan Melaka.

Amaran tahap waspada itu turut melibatkan beberapa kawasan lain iaitu Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru; Johor dan Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran; Sabah.

Dalam pada itu, Nadma turut menyarankan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah diaktifkan di kawasan yang berisiko tinggi selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana.

“Pihak jawatankuasa itu juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut Nadma. -BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here