JPJ sasar kutip RM4.12 bilion tahun ini

0
11
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM4.12 bilion tahun ini berbanding RM4 bilion tahun lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, sasaran itu dijangka dapat disumbangkan menerusi aspek penguatkuasaan dan pengenalan beberapa lagi produk perkhidmatan secara atas talian.

Beliau berkata, kutipan hasil RM4 bilion tahun lalu merupakan satu kejayaan walaupun terpaksa menempuh pelbagai kekangan termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), moratorium lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

“Kejayaan itu dicapai hasil komitmen dan dedikasi semua warga JPJ termasuk rakan-rakan strategik JPJ di seluruh negara.

“Melihat kepada pencapaian tahun 2021, kami optimis akan dapat menyumbang RM4.12 billion lagi tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Setia JPJ 2022 di sini hari ini.

Menurut Zailani, pihaknya akan membuka 100 unit kiosk baharu di semua JPJ negeri dan 20 buah van bergerak JPJ tahun ini bagi memudahkan orang awam membuat pembayaran.

Katanya, van bergerak JPJ tersebut akan digerakkan ke lokasi-lokasi tumpuan awam seperti di bangunan kerajaan dan fasiliti awam seperti hospital.

“Kami juga bertekad untuk merealisasikan usaha pendigitilan termasuk bagi perkhidmatan Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM), e-Kaunter dan e-Testing (sistem pengujian lesen memandu).

“Kesemua perkhidmatan secara dalam talian ini akan dilaksanakan secara berperingkat sekali gus menawarkan alternatif kepada orang awam tanpa perlu ke kaunter,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here