
NIBONG TEBAl – Sesi persekolahan bagi 10 buah sekolah terpaksa ditangguhkan selama tiga hari bermula esok susulan pencemaran udara akibat kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh, penangguhan itu dibuat atas faktor keselamatan penduduk, pelajar serta warga kerja sekolah susulan kebakaran tapak pelupusan sampah yang mengakibatkan pencemaran udara.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Bencana Daerah yang berlangsung semalam selepas dipanjangkan kepada Bahagian Pendidikan Sekolah Harian (BPSH) dan Pengarah Pendidikan Negeri.
Antara sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, SMK Methodist, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, SK Keledang Jaya, SK Methodist serta SK Nibong Tebal
Turut terlibat, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, SJKT Ladang Changkat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik, SJKT Nibong Tebal.
“Tindakan ini diambil susulan indeks kepekatan udara di sekolah-sekolah dalam lingkungan radius 10 kilometer memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk.
“Sepanjang tempoh tersebut murid-murid akan melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) manakala sesi pembukaan semula sekolah pula, akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada 22 Januari berdasarkan keputusan yang akan dibuat Jawatankuasa Bencana daerah Seberang Perai Selatan.
“Selain itu, pihak sekolah juga diminta memaklumkan penutupan operasi 10 sekolah ini kepada pengusaha kantin, pengusaha bas dan pihak-pihak yang berkaitan untuk tindakan persediaan awal,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.
Menurut Boon Poh, penduduk dan warga sekolah juga diminta untuk mengurangkan aktiviti luar dan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan sekiranya tidak sihat.
Sebelum ini, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar itu dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang pada 12 Januari lalu namun sehingga kini pemadaman secara keseluruhan masih belum dapat dilakukan.
Anggaran keluasan kawasan yang terbabit dengan kebakaran adalah seluas 6.5 hektar.