
CYBERJAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan penangguhan kebenaran perjalanan ibadah umrah bermula 8 Januari depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah pencegahan penularan dan memperlahankan berlakunya gelombang varian Omicron.
“Tidak ada perjalanan mengerjakan umrah selepas 8 Januari 2022 sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak.
“Langkah ini kita ambil sebab kita nak perlahankan gelombang Omicron.
“Gelombang Omicron ini suatu perkara yang nyata dan akan tiba di semua negara jadi apa kita buat adalah langkah pencegahan, jadi dapat perlahankan penularan di negara secara mendadak,” katanya dalam satu sidang akhbar di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliu turut menambah, tiada tempahan tiket penerbangan untuk ibadah umrah dibenarkan berkuatkuasa hari ini.
Walaubagaimanapun jelas Khairy Jamaluddin, jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci bermula hari ini hingga 7 Januari masih dibenarkan untuk meneruskan perjalanan.
Mewakili kerajaan, Khairy Jamaluddin turut memohon maaf kepada umat Islam yang berniat untuk melaksanakan ibadah umrah dalam waktu yang terdekat.
“Bukan hasrat kerajaan atau Kementerian Kesihatan (KKM) sekat rakyat ke luar negara sebab kita sudah setuju sebelum ini untuk hidup dengan Covid-19 tetapi bila data yang kita terima menunjukkan peningkatan mendadak, jadi kita kita tidak ada pilihan iaitu menangguhkan umrah,” tambahnya.