Keluhan guru interim bahasa Inggeris didengari, Menteri Pendidikan arahkan temuduga disegerakan

0
158
Datuk Dr Radzi Jidin

CYBERJAYA – Nasib kumpulan guru interim bagi mata pelajaran bahasa Inggeris lantikan tahun 2019 yang akan tamat kontrak pada April ini mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang mahukan isu tersebut ditangani segera.

Menurut Radzi, beliau telah mengarahkan supaya Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menyegerakan proses temuduga melibatkan guru interim tersebut.

“Saya mohon supaya SPP dapat menyegerakan segala urusan temuduga kumpulan calon guru ini.

“Begitu juga dengan urusan lantikan bagi guru interim mata pelajaran Pendidikan Islam serta guru interim Jabatan Penddikan Negeri Sabah dan Sarawak yang mana kontrak mereka juga akan tamat tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan bersama Pengerusi SPP yang baharu, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff.

Sebelum ini tular ciapan di Twitter oleh seorang guru interim bahasa Inggeris yang memohon penjelasan Menteri Pendidikan, berkenaan isu penamatan kontrak Guru Interim Bahasa Inggeris DC41 ambilan 2019 pada 21 April ini.

Di dalam ciapan itu, turut mendakwa pihak Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) sedang berusaha SPP untuk urusan temuduga dan lantikan sebelum 22 April ini

Susulan itu Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menyelesaikan segera isu situasi guru interim bahasa Inggeris ambilan 2019 yang dilaporkan tamat kontrak pada 21 April ini.

Mengulas lanjut, katanya, tumpuan KPM pada masa ini adalah untuk menyelesaikan sepenuhnya pengambilan khas secara one-off bagi 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan.

Katanya, langkah itu adalah penting bagi menyediakan guru berkualiti yang mencukupi untuk memenuhi kekosongan jawatan sedia ada.

“Perbincangan turut menyentuh tentang keluhan graduan lepasan ISMP Pendidikan Awal Kanak-Kanak bagi pengambilan khas ini. Berdasarkan maklum balas SPP, terdapat lebihan graduan pendidikan bagi mata pelajaran tertentu, termasuk graduan PAKK. Perkara ini akan diteliti oleh KPM dan SPP.

“Selain guru, kami turut membincangkan tentang pengambilan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) yang perlu disegerakan bagi membantu melancarkan pengoperasian sekolah,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here