
CYBERJAYA – Isu kenaikan harga barang tidak unik kepada Malaysia sahaja kerana ia merupakan fenomena global yang dialami kebanyakan negara akibat gangguan rantaian bekalan dan kos tenaga yang meningkat secara mendadak.
Portal Malaysia Gazette menyebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara sama turut melanda Amerika Syarikat (AS) yang mencatat kadar inflasi tujuh peratus iaitu tertinggi dalam tempoh 39 tahun selain kadar enam peratus dicatatkan negara Eropah lain.
Tambahnya, Malaysia mencatat kenaikan kadar inflasi sebanyak 3.2 peratus pada Disember 2021 berbanding tempoh sama pada 2020.
“Isu kenaikan harga barang bukan mudah untuk ditangani namun yang penting kerajaan akan bersungguh-sungguh bagi meredakan kadar inflasi di negara ini.
“Ia dilaksanakan oleh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan perdana menteri,” katanya selepas majlis pelancaran logo baharu dan buku-buku oleh Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB), hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.
Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini melaporkan, Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Disember 2021 meningkat 3.2 peratus kepada 124.5 berbanding 120.6 dalam bulan sama pada tahun sebelumnya berikutan kenaikan harga makanan dan bahan api.
Jabatan itu berkata, kenaikan tersebut melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga 2021 iaitu 1.9 peratus.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, NACCOL telah mengadakan mesyuarat sebelum ini bagi memperincikan langkah menyeluruh dan bersepadu dalam usaha kerajaan menangani serta mengawal kenaikan harga barang keperluan dan kos sara hidup rakyat.