
PUTRAJAYA – Keputusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenai tiada kes salah laku melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu diterima oleh semua pihak.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan yang diumumkan oleh SC sebagai badan profesional tidak seharusnya ditolak atau dipertikaikan seperti dilakukan pembangkang.
Beliau berkata, isu pembelian saham itu telah diserahkan kepada kuasa SC untuk membuat keputusan mengenai sama ada salah atau sebaliknya.
“Jangan pula kita minta dia (Azam Baki) disiasat, tapi selepas siasatan dibuat, kita masih tidak puas hati dengan keputusannya. Jangan kita fikir untuk ikut kehendak kita sahaja.
“SC sudah pun membuat keputusan, kita dah kata kita serahkan kepada SC. Bila SC kata tiada kes, kita terimalah keputusan SC,” katanya selepas Program Eksklusif Bersama YAB Perdana Menteri dan Pelancaran Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di sini malam ini.
Majlis diadakan sempena program Jelajah Agrikomoditi yang bermula pada penghujung tahun lalu itu diadakan bagi mendengar aspirasi dan hasrat Perdana Menteri kepada sektor agrikomoditi negara.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan sebarang pertanyaan mengenai keputusan yang diumumkan itu perlu dirujuk kepada badan berkenaan.
Siasatan suruhanjaya itu semalam membuat keputusan bahawa tiada kes pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Azam.
Keputusan SC itu bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak yang tidak berpuas hati kerana alasan yang diberikan SC tidak dapat menentukan secara muktamad kesahihan dakwaan terhadap Azam.