
CYBERJAYA – Kerajaan hari ini membenarkan pengendali pasar raya besar untuk memperoleh permit import (AP) bagi mengimport ayam bulat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini pemegang AP hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain.
Tambahnya, langkah ini merupakan satu tindakan proaktif bagi memastikan harga ayam kekal berpatutan dan pada masa yang sama tidak menjejaskan industri penternakan ayam.
“Harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan sekarang menjadi RM8.90 manakala harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.
“Pelaksanaan kedua-dua harga ini bermula 5 Feb sehingga 5 Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan.
Turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Pada masa yang sama, kata Ismail Sabri lagi, kerajaan akan memberikan subsidi bagi memastikan harga barangan dapat dikawal seperti SHMKM.
“Mesyuarat turut menggesa Kedai Harga Patut perlu diaktifkan semula di seluruh negara selain menambah kekerapan operasi pasar tani di satu-satu kawasan,” kata kenyataan itu lagi.