
ALOR SETAR – “Alhamdulillah Kedah baik. Memang tidak ada isu di Kedah, kita aman ketika ini. Kita tidak ada buat orang marah,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Sanusi Md Nor.
Kenyataan Sanusi itu sekaligus menafikan kerajaan negeri pimpinannya goyah susulan dakwaan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO akan menarik sokongan.
Sanusi berkata, pentadbiran kerajaan negeri masih berjalan seperti biasa dan tiada ADUN memaklumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri ketika ini.
Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai dakwaan ada ADUN menarik sokongan apabila dihubungi media, namun menyifatkan sekadar khabar angin yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab sahaja.
“Alhamdulillah Kedah baik. Memang tidak ada isu di Kedah, kita aman ketika ini. Kita tidak ada buat orang marah,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.
Pada masa sama, Muhammad Sanusi menjelaskan, beliau sedia berbincang dengan mana-mana pihak pada bila-bila masa bagi membincangkan sebarang isu yang timbul berkaitan negeri.
Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial kononnya dua ADUN UMNO dan dua ADUN Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan keluar kerajaan negeri menyebabkan kemungkinan kerajaan negeri goyah.
Bagaimanapun, semakan terkini mendapati hantaran itu dipercayai sudah dipadamkan pemilik akaun terbabit, namun tangkap layar yang dibuat pengguna lain masih tular sehingga kini.
Pada Mei 2020, Perikatan Nasional (PN) dianggotai PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan UMNO berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat sokongan 23 ADUN.
Untuk rekod, ketika ini PAS memiliki 15 kerusi, BERSATU enam kerusi dan UMNO dua kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memiliki 13 kerusi.