
CYBERJAYA -Kerajaan akan meningkatkan keluasan hutan sedia ada di Semanjung daripada 43.1 peratus kepada 50 peratus menjelang 2040 sebagai salah satu usaha menangani kepupusan Harimau Malaya yang kini direkodkan kurang daripada 150 ekor.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu jika tidak dilaksanakan segera akan menyebabkan haiwan yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri-negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi itu pupus selamanya.
Mengulas lanjut, usaha memperluaskan kawasan hutan negara itu katanya merupakan satu daripada enam pendekatan Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya (2021 hingga 2030) yang dipersetujui Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF).
“Pendekatan seterusnya adalah pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan, di samping menghentikan kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan MyTTF di Putarajaya, hari ini.
Katanya, mesyuarat juga bersetuju untuk memperkasa urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah PERHILITAN, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan konservasi ex-situ Harimau Malaya.
Turut dipersetujui ialah memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan kepada insentif kewangan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) bagi Pemuliharaan Biodiversiti sedia ada dan pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.
“Pendekatan terakhir ialah Kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan kesedaran dan pembabitan rakan strategik,” katanya.
Ismail berkata, antara faktor kepupusan Harimau Malaya adalah kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram, selain penularan virus canine distemper.
“Lebih membimbangkan, spesies ikonik negara itu akan hilang buat selama-lamanya,” katanya.
Mesyuarat dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri mewakili Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan Perak.
Di peringkat Persekutuan, ia dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta wakil daripada kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan.