
CYBERJAYA – Kerajaan sedang mengusahakan untuk menyerap guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke jawatan tetap atau melalui kontrak perkhidmatan (COS).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, masih terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan, antaranya menyelaraskan masa kerja guru KAFA di seluruh negara.
“Kita sudah bincang terutama syarat-syarat, dengan pihak berkuasa agama negeri serta agensi berkenaan supaya guru KAFA ini dapat dibantu ditetapkan dalam perkhidmatan mereka ataupun COS peringkat awal dulu.
“Masalah ada negeri yang melaksanakan KAFA ini tiga hari seminggu sahaja, ada negeri pula lima hari,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama guru KAFA, takmir dan imam di Lahad Datu, Sabah hari ini.
Dalam pada itu, Idris mengingatkan semua guru KAFA termasuk imam di Sabah supaya menjaga akhlak dan menjadi contoh kepada masyarakat.
Selain itu, katanya, pada tahun ini kerajaan menyediakan peruntukan RM1.5 bilion berkaitan hal ehwal Islam dengan RM140 juta untuk pendidikan, manakala RM58 juta disalurkan untuk pembangunan agama di Sabah.