Kerajaan sedia timbang beri geran khusus untuk usahawan IKS terjejas banjir

0
23
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bagi membincangkan secara terperinci mengenai impak banjir ke atas PMKS termasuk peniaga informal hari ini

CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju untuk mempertimbangkan bantuan berbentuk geran khusus bagi meringankan beban yang ditanggung oleh usahawan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir yang berlaku di beberapa negeri baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehubungan itu, Kementerian Kewangan (MOF) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), kementerian dan agensi berkaitan serta dewan-dewan perniagaan bagi memperhalusi cadangan yang telah dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan.

“Lawatan susulan ke lokasi yang dikenalpasti akan diadakan bagi memastikan program bantuan banjir Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sampai ke kumpulan sasaran.

“Insya-Allah, saya akan mengumumkan inisiatif ini setelah diperhalusi dan dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bagi membincangkan secara terperinci mengenai impak banjir ke atas PMKS termasuk peniaga informal.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya turut mendapat pandangan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI) serta MEDAC bagi berkongsi impak akibat banjir.

Katanya, mereka turut mencadangkan beberapa tindakan bagi membolehkan PMKS bangkit semula.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut mendengar keluhan daripada dua orang usahawan PMKS dari Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk bagi mendapatkan gambaran sebenar kerugian, kesan dan masalah yang mereka hadapi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here