
CYBERJAYA – Jumlah kes positif Covid-19 dengan varian Omicron dalam kalangan jemaah umarah yang tiba dari Arab Saudi ke negara ini kini pada tahap membimbangkan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penularan varian Omicron walaupun dikatakan kurang berbahaya daripada varian lain tetap berisiko melumpuhkan perkhidmatan sistem kesihatan negara kerana kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi daripada varian Delta.
Justeru katanya, tindakan kerajaan menangguhkan sementara perjalanan mengerjakan umrah bermula 8 Januari ini adalah satu langkah intervensi kesihatan awam yang perlu dilaksanakan.
“Ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dibuat, lebih-lebih lagi mengambil kira betapa penting dan bermaknanya peluang untuk mengerjakan ibadah umrah ini.
“Sehingga 31 Disember 2021, sebanyak 64 kes positif Covid-19 dengan varian Omicron telah disahkan. Daripada 64 kes jangkitan Covid-19 varian Omicron ini, sebanyak 32 kes atau 50 peratus dikesan dalam kalangan jemaah umrah,” katanya dalam kenyataan di media sosial petang ini.
Menurut Khairy, tindakan itu dilaksanakan berdasarkan kadar kes positif melibatkan pengembara dari Arab Saudi adalah yang tertinggi.
“Dalam tempoh 2 minggu terakhir tahun 2021, kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi adalah yang tertinggi dengan 1,161 kes atau 80.2 peratus daripada bilangan pengembara dari Arab Saudi yang dikesan positif sepanjang tahun 2021,” katanya.
Kebimbangan itu ditambah laporan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang mendedahkan 966 daripada 1,077 sampel kes positif dalam kalangan kalangan pengembara yang tiba di negara ini berkemungkinan varian Omicron.
“Daripada 966 kes tersebut, 750 atau 77.6 peratus melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi. Sampel-sampel tersebut kini sedang menunggu keputusan ujian jujukan penuh (WGS).
