
SEMENYIH – Kesilapan tulisan jawi pada papan tanda jalan di Jalan Dana Permai dan Jalan Damai di kawasan Residensi Permai dan Residensi Aman di Bandar Teknologi Kajang di sini mengundang persoalan ramai.
Ini kerana, walaupun secara terang-terangan tulisan jawi di tiga papan tanda jalan di kawasan berkenaan terdapat kesilapan iaitu ejaan terbalik dan huruf tidak bersambung, ia tetap tidak perbetulkan.
Malah lebih meragukan, papan tanda berkenaan tetap mendapat kelulusan dari Majlis Perbandaran Kajang kerana logo pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut diletakkan bersama-sama panda tanda jalan berkenaan.
Tinjauan Malakat Tribune di kawasan berkenaan hari ini juga mendapati papan tanda jalan berkenaan masih tidak diubah walaupun telah tular di media-media sosial sejak beberapa hari lalu berhubung kesilapan berkenaan.

Perkara itu tidak boleh diambil mudah kerana boleh mengelirukan masyarakat dan tidak mustahil ada banyak lagi papan tanda tulisan jawi yang berlaku kesalahan, namun ia seolah-olah tidak diambil peduli pihak bertanggungjawab.
Hasil tinjauan juga mendapati, Residensi Permai dan Residensi Aman berkenaan baharu siap sepenuhnya dan setakat ini tidak semua pemilik sudah berpindah ke unit kediaman masing-masing di Bandar Teknologi Kajang itu.
Sementara itu, seorang pemilik unit Residensi Permai yang mahu dikenali sebagai Azmir berkata, dia juga tidak perasan terdapat kesilapan pada tulisan jawi pada papan tanda jalan berhampiran unit kediamannya itu.
“Saya perasan bila awk tanya, sebelum ini hanya gunakan jalan ini sahaja. Tidak pula lihat kepada papan tanda jalan. Saya harap pihak pengurusan akan ambil tindakan berhubung kesilapan ini,” katanya.