Khairy nafi status vaksinasinya ‘kosong’

0
41
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

CYBERJAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menafikan maklumat daripada tangkap layar tular yang mendakwa beliau masih belum menerima suntikan vaksin COvid-19.

Maklumat dengan identifikasi beliau bersama kad pengenalan dan nombor telefon itu memaparkan status DOS pertama yang ‘sedang diproses’.

“Sejak semalam, telah tular tangkap layar (screenshot) palsu mengenai butiran peribadi dan status vaksinasi COVID-19 saya yang disemak melalui laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/semak-status.

“Dalam tangkap layar itu, status janji temu saya dinyatakan sebagai ‘SEDANG DIPROSES’ sementara butiran lain seperti lokasi pusat vaksin, tarikh dan masa janji temu tidak dinyatakan,” katanya dalam hantaran di Facebook petang ini.

Khairy sebalik menjelaskan bahawa dia merupakan individu pertama di negara ini yang menerima suntikan vaksin dari jenis Sinovac di negara ini dengan rakaman yang disiarkan secara langsung.

“Untuk rekod, saya telahpun mendapat suntikan dos pertama vaksin CoronaVac pada 18 Mac 2021 dan merupakan individu pertama di Malaysia yang menerima vaksin keluaran Sinovac tersebut.

“Malah, pengambilan dos pertama tersebut turut disiarkan secara langsung di saluran televisyen dan saya juga telah menunjukkan paparan MySejahtera saya selepas saya menerima vaksin tersebut,” katanya.

Tangkap layar kenyataan Khairy Jamaluddin mengenai mesej yang tular sejak semalam.

Mengulas mengenai laman web https://www.vaksincovid.gov.my/semak-status/ yang digunakan dalam mesej tular tersebut, Khairy berkata tidak lagi aktif atau dikemas kini.

Bagi suntikan dos kedua, beliau berkata suntikan diterima pada 8 April 2021 manakala dos penggalak vaksin diterima pada September lalu sebelum beliau berlepas ke Himeji, Jepun bagi Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WPRCM) Ke-72.

Katanya, laman web itu diwujudkan pada peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memudahkan urusan semakan kepada orang awam.

“Selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90 peratus pada bulan Oktober 2021, laman web tersebut tidak lagi aktif atau dikemas kini.

“Saya minta orang ramai untuk tidak terpengaruh dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menidakkan usaha vaksinasi negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here