Khaled Nordin tak bertanding PRN Johor

0
50
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan keputusannya untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu yang akan diadakan tidak lama lagi dibuat tanpa teragak-agak dan dengan senang hati.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO terdahulu memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRN itu.

“Keputusan ini saya buat tanpa teragak-agak dan dengan senang hati.

“Kita semua mesti kerja dengan kuat dan gigih supaya BN berjaya kembali menerajui negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook miliknya hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang, berkata beliau tidak berhasrat menawarkan diri untuk bertanding pada PRN kali ini.

“Tidak, saya tidak akan bertanding dan tidak menawarkan diri untuk bertanding pada PRN Johor.

“Saya merasakan Datuk Hasni Mohammad (Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor) melakukan kerja yang baik menerajui negeri.

“Kita perlu beri peluang dan pendedahan kepada pemimpin muda untuk bertanding. Ini adalah keputusan saya walaupun ada pihak mendakwa saya akan bertanding, itu adalah tidak benar,” katanya memetik laporan BH, hari ini

Pada 14 Januari lalu, Mohamed Khaled berkongsi gambar beliau menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi, di sini, sekali gus menimbulkan spekulasi beliau bakal membuat kemunculan semula dan bertanding pada PRN Johor nanti.

Khaled sebaliknya menjelaskan, pertemuan bersama Sultan Johor itu sekadar bertanya khabar di samping membincangkan isu semasa membabitkan negeri Johor termasuk isu banjir.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mohamed Khaled tewas di kerusi DUN Permas apabila mendapat 20,047 undi kepada Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh (BERSATU) yang memperoleh 28,793 undi, dengan majoriti 8,746 undi.

Ditanya desas desus beliau akan dicalonkan di DUN dalam daerah Kota Tinggi yang juga antara kubu kuat UMNO di Johor, Mohamed Khaled, menolak dakwaan itu.

“Tidak…tidak. Isu ini tidak timbul. Itu bukan keutamaan saya mahu pun UMNO.

“Kena faham kita nak pastikan Johor kembali stabil dan kepentingan rakyat perlu diutamakan berbanding perkara lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here