KKM kesan 4 lagi kes varian Omicron, 122 kes kumulatif negara

0
9
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan empat lagi kes penularan Covid-19 varian Omicron di negara ini, menjadikan kes kumulatif varian tersebut sebanyak 122 kes setakat ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, empat kes tempatan terbaharu itu adalah antara 58 kes positif varian Omicron yang dikesan melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Beliau berkata, kes dipercayai menerima jangkitan daripada seorang jemaah umrah yang positif Covid-19 varian berkenaan.

“Daripada 58 kes ini, sebanyak 54 kes merupakan jangkitan import melibatkan 39 kes adalah daripada Arab Saudi; tujuh dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat kes dari United Kingdom, dua kes dari Nigeria dan masing-masing satu kes dari Kazakhstan dan Perancis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata, bagi keseluruhan kes varian Omicron yang dilaporkan, sebanyak 71 kes bersamaan 58.2 peratus merupakan jemaah umrah.

“Hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan IMR ke atas 1,774 kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 31 Disember tahun lalu mendapati 1,220 bersamaan 68.8 peratus sampel menunjukkan berkemungkinan varian Omicron.

“Daripada 1,220 kes berkemungkinan varian Omicron ini, 928 (76.1 peratus) melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi,” katanya.

Mengulas empat kes varian Omicron di Kedah, Khairy berkata, penularan tempatan dilaporkan pada 4 Januari lalu dengan kesemua kes merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 varian Omicron yang balik Tanah Suci pada 12 Disember 2021.

Katanya, pendedahan kepada kes ini berlaku pada 13 Disember 2021 dan kesemua mereka mula bergejala dengan kategori dua pada 17 Disember 2021.

“Malah, ujian RT-PCR Covid-19 yang dijalankan selanjutnya pada 19 Disember 2021 adalah positif dengan CT Value di antara 20.80 hingga 21.49.

“Kesemua mereka telah diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here