
CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sedang menyiasat 18 kes Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) termasuk kes kematian dalam kalangan banduan di Penjara Kajang.
Pengarah NPRA, Dr Roshayati Mohamad Sani berkata, siasatan telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berhubung perkara itu.
Katanya, laporan siasatan itu akan dibentangkan untuk dinilai oleh Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK) bagi mengesahkan kausaliti atau hubungkait antara vaksin dengan kesan advers yang dilaporkan.
“Adalah dimaklumkan bahawa KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memantau secara berterusan keselamatan penggunaan semua vaksin termasuk vaksin COVID-19 melalui pemantauan laporan AEFI.
“KKM akan memaklumkan situasi semasa laporan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes kesan Advers termasuk dua kematian tahanan di Penjara Kajang baru-baru ini tular melalui satu surat komunikasi dalaman di media sosial.
Surat bertarikh 30 November 2021 itu mendedahkan terdapat 18 kes daripada 4,185 tahanan di penjara itu yang mengalami kesan Advers setakat bulan Oktober tahun lalu.
Daripada 18 kes, terdapat dua kematian, tiga mengalami gejala berkaitan jantung, tiga mengalami strok, ada yang lemah anggota dan kecederaan saraf dan enam kes jangkitan paru-paru
Hari ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan, Jabatan Penjara Malaysia dan KKM menjawab isu yang sama.