KKMM anjur bacaan surah Yasin, solat hajat doakan kesihatan Tun M

0
33
Annuar bersama lebih 50 jemaah lain pada majlis malam tadi. – fb/Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bersama lebih 50 jemaah menunaikan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat bagi mendoakan kesihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Masjid Muhammadi Angkasapuri, malam tadi.

Majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) itu turut disertai oleh Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Mohd. Sukari Ab. Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim serta pengurusan tertinggi dan kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Majlis yang dipimpin Imam 1 masjid berkenaan, Ustaz Mohd. Fadhli Md. Desa, dimulakan dengan solat maghrib berjemaah diikuti solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat serta solat isyak.

Solat berkenaan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara termasuk penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka ketika solat, kata Bernama.

Semalam, anak Ahli Parlimen Langkawi itu Datin Paduka Marina memaklumkan keadaan bapanya yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Jan lepas.

Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Jan selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif berkenaan yang dikendalikan sepasukan doktor daripada institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here