Kluster mahkamah sengaja cetus PRN Johor untuk selamatkan diri – Hadi Awang

0
123
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang

CYBERJAYA – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menempelak kluster mahkamah daripada UMNO yang disifatkan sengaja mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi menyelamatkan diri mereka.

Beliau berkata, strategi yang dilakukan oleh pemimpin UMNO daripada kluster mahkamah itu hanya akan menyusahkan rakyat.

“Strategi buat PRN negeri-negeri ini bukan strategi yang baik kita tahu yang buat strategi ini ialah kluster mahkamah, yang kalah dalam pilihan raya 14 dan tak ada jabatan. Bukan semua dalam UMNO.

“Kluster mahkamah ini kita tak anggap mereka bersalah. Mereka yang dituduh belum dianggap bersalah kalau ada moral lawan di mahkamah. Bukan susahkan rakyat dengan pilihan raya. Nak selamatkan diri, buat pilihan raya

“Lawan di mahkamah kalau betul, jangan takut. Yang kluster kalah pilihan raya, tunggulah pilihan raya, kena sabar. Ini buat negeri-negeri, kalau ada negeri UMNO kuat, kita ada negeri Pas kuat macam Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ada negeri Bersatu kawal, Sabah. Malah kerajaan pusat didominasi oleh PN,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu turut mengumpamakan UMNO seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

“Tapi malangnya, kita bukan nak ajar itik berenang. Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya ke 14. Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.

“Malangnya bila kakinya dah sembuh, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai jumlah empat kerusi yang ditawarkan oleh UMNO dalam PRN Johor, Abdul Hadi berkata setakat ini belum ada rundingan dilakukan dan parti itu bukan parti peminta sedekah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here