
SEREMBAN – Kluster Air Hitam yang dikesan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam di sini setakat ini melibatkan jangkitan 128 kes Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, pengesanan kes positif itu diperolehi daripada ujian saringan dilakukan terhadap 602 individu.
Katanya, kes indeks bagi kluster itu dikesan hasil saringan terhadap lima pelatih yang bergejala dan kemudian didapati positif.
“Daripada ujian 602 individu, 128 disahkan positif, manakala 444 negatif dan 30 lagi sedang menunggu keputusan.
“Kes positif sedang dirawat dan kontak rapat telah diasingkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Veerapan berkata, ekoran pengesanan kluster pada Khamis lalu, institusi berkenaan kini ditutup kepada orang awam kecuali bagi urusan pentadbiran.
Sementara itu, beliau berkata, setakat pukul 12 tengah hari semalam, 203 kes baharu Covid-19 dilaporkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC), Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negeri ini mencecah 115,717 kes dengan 1,327 kematian.
“Satu kluster baharu dilaporkan, iaitu Kluster Jalan Pulai Impian di Seremban. Ia membawa kepada tujuh kluster tempatan belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan, setakat ini.
“Enam lagi kluster ialah Kluster Air Hitam dengan 128 kes, Industri Jalan Mukasauk (55), Persiaran Pendidikan Nilai (53), Jalan Geliu (32), Kasih Kemboja (25) dan Jalan Merpati Serting (21),” katanya.