KPLB peruntuk RM150 juta untuk program pasca banjir

0
7
Mahdzir Khalid berucap pada Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Naka, Padang Terap hari ini.

CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM150 juta untuk bantuan pasca banjir.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu termasuk Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia, kos baik pulih jalan perhubungan desa dan kemudahan seperti longkang, surau, dewan orang ramai dan masjid di kawasan luar bandar yang terkesan akibat banjir.

“Bantuan pasca banjir yang diluluskan itu melibatkan negeri Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Kelantan, Terengganu, Johor dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Naka di Padang Terap hari ini.

Tambah Mahdzir, bantuan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia untuk kerja-kerja membaik pulih rumah dan membina rumah baharu melibatkan peruntukan sebanyak RM38.5 juta setakat 9 Januari lalu.

Peruntukan itu katanya melibatkan kerja-kerja pembaikan sebanyak 1,879 buah rumah dan membina rumah baharu pula 165 buah.

Beliau berkata, kerajaan menetapkan kos siling bagi baik pulih rumah pasca banjir sebanyak RM15,000 dan RM56,000 bagi bina baharu setiap unit rumah yang rosak teruk.

Setakat ini, KPLB telah menerima 2,044 permohonan untuk membaik pulih dan membina semula rumah membabitkan kawasan luar bandar di negeri yang terjejas banjir.

“Jumlah permohonan membaik pulih rumah dan membina semula rumah itu dijangka meningkat selepas pihaknya mendapat data dan maklumat terbaharu daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terlibat,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here