Kuarantin pesakit lengkap vaksin, tidak bergejala kini 7 hari

0
25
Gambar hiasan – foto/FaridJanudin.

CYBERJAYA – Tempoh pengasingan diri selama 10 hari bagi individu yang disahkan positif Covid-19 dengan penerimaan vaksin lengkap dan tidak bergejala disingkatkan kepada tujuh hari.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tempoh kuarantin bagi individu yang tidak lengkap atau tiada vaksinasi atau bergejala pula adalah 10 hari.

Katanya, bagi kontak rapat kes positif Covid-19 pula, individu yang telah mendapat dos penggalak perlu menjalani perintah kuarantin selama lima hari.

“Bagi kontak rapat yang telah lengkap vaksinasi dan yang belum lengkap atau tiada vaksinasi, individu tersebut perlu menjalani perintah kuarantin selama tujuh hari.

“Sekiranya kontak rapat tersebut bergejala, lakukan ujian pengesanan jangkitan Covid-19 menggunakan RTK-Ag sama ada kendiri atau ke fasilti kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut. Keputusan ujian kendiri hendaklah dimasukkan ke dalam Mysejahtera.

“Mereka juga perlu menjalani ujian RTK-Ag sama ada di fasiliti kerajaan atau swasta pada hari kelima (untuk kuarantin lima hari) dan hari ketujuh (untuk kuarantin tujuh hari) serta diberi pelepasan kuarantin pada hari yang sama ujian pengesanan RTK-Ag dijalankan sekiranya keputusan adalah negatif dan tidak bergejala,” katanya dalam satu satu kenyataan, semalam.

Khairy berkata, prosedur itu akan mula berkuat kuasa hari ini dan turut terpakai ke atas mereka yang sedang menjalani pengasingan dan kuarantin manakala prosedur sedia ada bagi pengurusan pengembara yang baru tiba ke Malaysia masih terpakai.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah meningkatkan kesiap siagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapai kemungkinan peningkatan kes susulan pelaporan kes jangkitan varian Omicron dalam negara.

“Oleh itu, KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum serta mengelakkan gejala jangkitan Covid-19 yang teruk serta komplikasinya,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here