
CYBERJAYA – Kekurangan jumlah murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang sejak beberapa tahun lalu menjadi salah satu faktor yang diambil kira oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyuraikan murid dan guru sekolah tersebut ke sekolah lain yang terletak berhampiran.
Menurut KPM dalam satu kenyataan, pada masa ini, sekolah tersebut beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang sahaja.
“Terdapat sekolah berdekatan yang dapat menampung murid dari SK Assumption dalam jarak antara 0.35 km hingga 5.8 km seperti
SK Kuala Perai, Butterworth yang jaraknya sejauh 0.35 km dan mempunyai kapasiti optimum sebanyak 617 murid namun pada masa ini enrolmen semasa hanya 187 murid.
“Selain itu, SK Sungai Nyior terletak hanya 1.7 km dengan kapasiti optimum 385 murid dan pada masa ini jumlah enrolmen semasa ialah 93 murid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, katanya, SK St Mark, Butterworth, SK Khir Johari, Perai dan SK St Mark, Perai yang terletak antara lingkungan jarak 2.1km hingga 5.8km masih boleh menampung kemasukan jumlah murid dari SK Assumption.
Mengulas lanjut, katanya, penyuraian itu sekali gus dapat meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 orang guru dan dua orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah lain.
Sementara itu, KPM turut mengesahkan sekolah tersebut yang merupakan sekolah bantuan kerajaan beroperasi di bangunan dan tapak sekolah yang dimiliki oleh syarikat Sri Avenue Sdn. Bhd. (Sri Avenue) sejak tahun 2008.
“Pada 3 November 2021, syarikat Sri Avenue telah memaklumkan bahawa syarikat telah menerima tawaran pembelian bangunan dan tapak sekolah daripada pihak ketiga.
“Sehubungan dengan itu, pihak syarikat memohon supaya KPM mengosongkan bangunan dan tapak sekolah tersebut dengan secepat mungkin.
“Memandangkan bangunan dan tapak sekolah adalah milik syarikat Sri Avenue KPM telah membuat ketetapan untuk menyuraikan murid dan guru ke sekolah lain yang berhampiran,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut KPM, mengambil kira sesi persekolahan yang sedang berlangsung, KPM telah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 pada bulan Mac ini.
Katanya, langkah itu adalah untuk membantu memudah cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi Kalendar Akademik Sesi 2022/2023.